Sesetengah pengguna telah melaporkan bahawa MobileJawi tidak berfungsi sepenuhnya pada peranti Xiaomi, Redmi dan Poco yang telah dikemaskini ke Android 13 baru-baru ini.
Para pengguna tidak menghadapi sebarang masalah semasa menggunakan MobileJawi pada peranti lain yang mengendalikan Android 13.
Kami juga membeli peranti ini dan cuba menguruskan sendiri memandangkan bilangan pengguna peranti Xiaomi, Redmi dan Poco adalah ramai.
Pemilihan bahasa tidak didayakan walaupun perkhidmatan persediaan berjalan dengan betul. Apabila kita mengetik pada pemilihan bahasa, skrin pemilihan tidak muncul.
Secara keseluruhannya, daripada penganalisaan kami, tiada sebarang masalah dengan aplikasi MobileJawi. Pemilihan bahasa merupakan sesuatu yang diberikan oleh Android tersendiri. Ia tidak diwujudkan secara khas di dalam MobileJawi. Justeru itu, adalah jelas diperlihat bahawa kami tidak dapat menyelesaikan isu ini secara bersendirian.
Oleh yang demikian, kami terpaksa menghantar sebuah laporan terus kepada Xiaomi memandangkan masalah ini tidak terdapat pada peranti lain. Mereka juga telah berjanji untuk meneliti isu ini. Selepas beberapa hari, mereka telah mengesahkan bahawa masalahnya adalah pada sistem Xiaomi itu sendiri.
Pada pagi ini, mereka menyatakan bahawa mereka telah menyelesaikan masalah ini dan akan memasukkannya ke dalam sistem kemas kini Xiaomi selanjutnya.
Ini merupakan berita baik!
Mereka juga tidak menyatakan bila pengemaskinian itu akan dilancarkan atau peranti mana yang akan tersedia untuknya. Adalah lebih baik untuk menghubungi Xiaomi untuk menyemak sama ada ia akan dikemaskini untuk peranti anda.